Assalamualaikum.....Salam Sejahtera........Salam 1 Malaysia..............Selamat berpuasa di Bulan Ramadhan al-Mubarak semoga Allah memberkati segala apa yang kita lakukan untuk kebaikan di dunia dan di akhirat ......amin ..ya..rabulalamin...

Sunday, 13 April 2008

HIASAN DALAMAN

Melapangkan ruang sempit
Oleh Azran Jaffar

Dengan menempatkan cermin di beberapa bahagian ruang akan dapat mengelakkan sesuatu ruang itu nampak sempit

RUANG tamu yang sempit memerlukan perancangan yang berkesan dalam penataannya supaya perabot yang diletakkan tidak menyesakkan dan menghalang laluan, sekali gus mewujudkan persekitaran yang selesa.



Bagi pereka dalaman, Ikhwan Johari dari WSI Designs, satu kaedah yang dilihat mampu mengatasi mengatasi ini adalah dengan menempatkan cermin di beberapa bahagian ruang berkenaan bagi mengelakkan sesuatu ruang itu nampak sempit.

CORAK sama pada
permukaan meja
dan tikar getah.

Perkara ini dipraktikannya untuk rekaan dalaman sebuah unit pangsapuri kos rendah di Tropicana, Petaling Jaya bagi program Jom Tukar.

“Cermin memberikan kesan lapang, sebagai contoh, saya letakkan cermin di dinding berhadapan pintu bilik supaya apabila keluar dari bilik penghuni unit pangsapuri ini nampak wajah mereka dan bukannya dinding.

“Kalau nampak dinding penghuni akan merasai kesempitan ruang, di samping itu saya juga meletakkan cermin di dinding di atas rak televisyen dan empat keping lagi yang kecil di dinding atas sofa bagi memberi kesan sama,” katanya.

Ikhwan berkata, untuk pengubahsuaian ini, pemilik kediaman mahukan konsep moden kontemporari dan ini dilaksanakannya melalui penggunaan warna-warna cerah pada kebanyakan kemasan.

“Ia bukan saja untuk memenuhi keperluan konsep tetapi juga mewujudkan kesan luas kepada kediaman,” katanya yang menggunakan tikar getah bercorak ira kayu warna lembut bagi mewujudkan suasana terang.

Ikhwan juga menjelaskan, oleh kerana ruang tamu dan ruang makan di unit pangsapuri itu disekalikan, maka beliau mewujudkan sempadan bagi memisahkan antara kedua-duanya.

Tiada dinding atau gantungan bidai, sebaliknya Ikhwan membuat jaluran garisan menggunakan sapuan cat pada dinding di bahagian yang diperuntukkan sebagai ruang makan yang diteruskan sehingga ke siling.

Bagi mewujudkan keserasian, Ikhwan menutup permukaan meja lipat yang dijadikan meja makan dengan bahan yang memaparkan corak sama dengan tikar getah, manakala penggunaan meja lipat adalah sesuatu yang dilihat praktikal untuk kediaman dengan ruang terhad.

Untuk mengelakkan kesesakan di bahagian yang diperuntukkan sebagai ruang tamu pula, Ikhwan hanya meletakkan sebuah sofa tiga dudukan warna gelap, sementara di dinding menghadapnya diletakkan rak televisyen sederhana besar.

Di antara kedua-dua perabot ini Ikhwan meletakkan hamparan warna cerah sederhana besar bagi memberikan kesan menyenangkan.

Bagi menimbulkan kecerahan, terendak lampu di bahagian ini sengaja direndahkan sedikit supaya cahaya yang dikeluarkan dapat dibiaskan oleh cermin yang digantung di atas rak televisyen.

Ikhwan juga menggantikan langsir tingkap ruang ini dari jenis yang tidak terlalu tebal dengan paparan corak sederhana bagi memberi kesan cerah pada siang hari.

Sesuai dengan Aidilfitri yang bakal menjelang, Ikhwan mengilhamkan suasana ini dengan meletakkan hiasan sarung ketupat pada langsir dan juga lampu kelip-kelip yang dipasang pada cermin utama di dinding.

Selain itu, tiga pelita panjut yang sumbunya digantikan dengan lilin diletakkan di tepi sofa untuk menaikkan lagi suasana yang boleh dijadikan hiasan sekiranya tuan rumah ingin mengadakan rumah terbuka.
Menjadikan jerami padi nilai komersial
Oleh Amran Abdullah


PELBAGAI jenis lampu tidur yang diperbuat daripada kertas
serat, dengan jenamanya yang menarik.

Kekotak lampu lantai, lampu meja, lampu syiling, lampu gantung, tempat penyimpanan nota, memo, beg, bingkai gambar juga diperbuat daripada serat tumbuh-tumbuhan

JERAMI padi lazimnya dibuang, dibiar atau dibakar begitu saja selepas petani menuai padi. Namun, bahan terbuang itu memberi ilham kepada Abdul Rahman Sani Abdullah untuk menghasilkan koleksi dan hiasan seperti lampu meja, bingkai gambar dan beg.

Selain jerami padi, beliau turut menghasilkan kertas menggunakan serat tumbuh-tumbuhan seperti batang pisang, pandan, kacang bendi (kacang lendir) dan kantan.



Abdul Rahman menerusi syarikatnya, Armensa Design bertapak di Kompleks Shahab Perdana, Alor Star, Kedah mengambil inisiatif bagi menyahut seruan kerajaan dan Perdana Menteri agar menjadikan satu daerah satu produk kraftangan.

Bertitik tolak daripada seruan itu, beliau yang mendapat bantuan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, negeri Kedah menggunakan kemahiran yang dipelajari di luar negara untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran itu untuk menghasilkan produk tempatan.

Armensa Design menjadi syarikat perintis dalam pembuatan kekotak lampu lantai, lampu meja, lampu syiling, lampu gantung, tempat penyimpanan nota, memo, beg, bingkai gambar berasaskan kertas yang diperbuat daripada serat tumbuh-tumbuhan.

Dengan menggunakan nama-nama yang direkacipta sendiri, bertujuan melariskan perniagaan dan menyediakan nama-nama tempatan terhadap kraftangan yang dihasilkan, adalah satu usaha kompeten dan berdaya saing.

"Harga yang berpatutan antara RM3 dan RM150 mampu dimiliki setiap orang dalam usaha menghargai kraftangan tempatan, termasuk pencinta seni kreatif", kata Abdul Rahman.

Justeru, menghasilkan kertas menggunakan serat tumbuh-tumbuhan memerlukan beberapa langkah susulan. Dalam peringkat pembuatan, serat tumbuh-tumbuhan yang dipilih akan dibersihkan terlebih dulu, khususnya membuangkan kekotoran.

"Serat-serat itu akan dipotong mengikut kesesuaian saiz, yang kemudiannya direbus dengan menggunakan soda cautic bagi melembutkan serta" kata Abdul Rahman.

Langkah seterusnya iaitu melerai, dilakukan dengan cara memukul serat yang telah direbus bagi menghasilkan pulpa. Peringkat membentuk kepingan dan menangguk pulpa dilakukan dalam takungan. Takungan biasanya berbentuk kolam, dan kerja menangguk menghasilkan kepingan kertas basah yang nipis dalam tapisan yang ditangguk.

Kertas basah di dalam penangguk itu akan dijemur untuk dikeringkan atau dimampatkan bagi mendapatkan permukaan kertas yang licin dan kuat.

Meskipun kerja menghasilkan kertas serat tumbuh-tumbuhan tampak mudah, sebaliknya Abdul Rahman menjelaskan, kertas yang dibuat itu masih melalui proses kajian teknikal seperti kesesuaian, keupayaan, kekuatan dan ketelusan bahan sebelum dapat menghasilkan produk kraftangan yang diinginkan.

"Kulit kayu, kain dan kertas terpakai turut digunakan bagi menghasilkan kertas" kata Abdul Rahman. Namun penggunaan serta tumbuh-tumbuhan lebih diutamakan kerana serat tersebut mudah diperoleh dan murah harganya.

Sebelum bahan seperti lampu, bekas memo, kad nama, sampul surat, kotak, bingkai gambar, dan beg kertas dihasilkan, Armensa Design melaksanakan kajian tindakan serta kajian pasaran untuk mengetahui kehendak dan sikap penggunaan.

"Cita rasa pengguna khususnya apa yang pelanggan mahu, golongan sasaran dan jenis produk perlu diambil kira dan dilakukan kajian terlebih dulu," kata Abdul Rahman.