Assalamualaikum.....Salam Sejahtera........Salam 1 Malaysia..............Selamat berpuasa di Bulan Ramadhan al-Mubarak semoga Allah memberkati segala apa yang kita lakukan untuk kebaikan di dunia dan di akhirat ......amin ..ya..rabulalamin...

Tuesday, 20 April 2010

Inovasi P & P Sejarah Seni

Inovasi Pengajaran Dan Pembelajaran Dalam Sejarah Seni Berpandukan Multimedia Interaktif

Abstrak
Komputer boleh digunakan sebagai alat bantu mengajar Pendidikan Seni Visual disamping membuat komposisi, persembahan, pengwujudan idea dan pengumpulan maklumat. Perasaan was-was terhadap pengajaran berbantukan komputer perlu disingkirkan kerana komputer tetap akan menjadi sebahagian daripada masa depan kita semua. Inovasi pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan adanya kemahiran dalam penggunaan ICT.
Kertas ini mencadangkan satu templat dan sumber teknologi yang sesuai untuk penyediaan bahan pengajaran pembelajaran pendidikan seni visual berasaskan multimedia interlatif. Teknologi maklumat dan kommunikasi juga diaplikasikan dalam pembentukan penilaian formatif yang interaktif dan pencapaian pelajar diberi ganjaran dengan kata-kata motivasi. Pencapaian pelajar dapat dikesan oleh guru dengan serta merta untuk membolehkan tindakan susulan yang berikutnya diambil supaya dapat membantu pelajar menguasai pemahaman dalam sejarah seni.

1. Pengenalan
Dalam sukatan pelajaran Pendidikan Seni Visual kurikulum bersepadu sekolah menengah, terbahagi kepada dua bidang utama iaitu penghasilan seni visual dan sejarah dan apresiasi seni visual. Selain daripada mempelajari kemahiran yang dapat membantu dan mengaplikasikan dalam kehidupan harian dan kerjaya pelajar, pengetahuan sejarah seni telah dimasukkan sebagai kertas satu dalam kertas peperiksaan yang berbentuk teori. Kertas ini wajib diambil oleh semua pelajar yang menduduki peperiksaan SPM.
Sejarah seni merupakan displin ilmu yang memusatkan pengajian tentang peranan para artis dan sumbangan yang dimainkan oleh tokoh terhadap perkembangan seni itu sendiri serta pengaruhnya terhadap peradaban budaya bangsa.
Sejarah seni merakamkan perkembangan seni dari zaman ke zaman. Di dalamnya merangkumi period, stail, ikonografi, peristiwa, tokoh atau biografi. Menurut Earl W. Linderman dalam bukunya ‘Teaching Secondary School Art’, sejarah seni merupakan pengkajian tentang bagaimana manusia sebagai seorang seniman mentafsir dan melahirkan budayanya dalam bentuk grafik.
Feldman (1976) ada mengatakan, menerusi pelajaran sejarah seni boleh meningkatkan lagi kesedaran kanak-kanak terhadap berlakunya pembaharuan-pembaharuan nilai manusia dari semasa ke semasa.
Walaupun Malaysia tidak mempunyai susur galur sejarah seni tradisi ataupun seni lukis keagamaan seperti kuil-kuil Angkor Wat di Kampuchea ataupun Borobudor di Jawa, namun terdapat beberapa bentuk seni tradisional yang mempengaruhi seni kontemporari Malaysia (Warton, 1971) yang dapat menjadi landasan kepada perkembangan seni moden. Daripada maklumat yang wujud, seni moden di Malaysia bermula pada tahun sekitar 1920-an. Pameran seni lukis terawal yang tercatat di Singapura oleh Lian Xiao Oh pada tahun 1924. Seni di Tanah Melayu ketika itu hanyalah lebih tertumpu kepada bentuk kraftangan ataupun produk untuk kegunaan harian seperti ukiran (rekabentuk ukiran kayu pada sampan-sampan), tembikar (labu sayong), anyaman (tikar mengkuang), tenunan dan tekat yang digunakan oleh orang Melayu. Oleh yang demikian, sejarah seni di Malaysia merangkumi falsafah pembuat kraf dan bukan hanya daripada sudut grafik atau dua dimensi semata-mata.

2. Kenalpasti permasalahan
Munurut J. F Adams (1964), masalah terbesar bagi para remaja yang bersekolah ialah mengenai hal-hal berkaitan dengan persekolahan mereka. Ilmu pengetahuan sejarah seni amat penting untuk mendidik pelajar membangunkan kesedaran dan persepsi artistik dalam seni, menghargai sumbangan dan mempelajari semangat pandai tukang dalam menghasilkan kraf, serta memajukan tahap ketrampilan seni (art skills) yang konsisten dalam media seni yang tertentu. Namun kesemua teori yang perlu dipelajari merupakan satu masalah besar bagi guru seni yang mengajar. Berdasarkan ujian-ujian bulanan mahupun peperikasaan tahunan, markah yang diperolehi oleh pelajar dalam kertas satu amat membimbangkan. Peratus lulus kadang-kadang tidak sampai tiga puluh peratus (maklumat didapati daripada pelajar-pelajar Tingkatan 3, 4 dan 5 Sekolah Menengah Sungai Rambai, Melaka). Bilangan pelajar yang dapat skor ‘A’ pula boleh dikira dengan jari. Bagaimana hendak menaikkan prestasi keputusan mata pelajaran seni visual dari segi kuantiti dan kualiti? Melalui pemerhatian harian, didapati kebanyakkan pelajar lebih gemar melakukan aktiviti kemahiran (menghasilkan sesuatu produk) daripada mempelajari teori sejarah, antara sebab-sebab yang diberi secara temubual adalah seperti:
1. Kurang minat dalam sejarah seni kerana ia merupakan fakta yang perlu diingati.
2. Terlalu banyak aliran seni, tokoh-tokoh, teknik-teknik, gaya setiap pelukis, nama bahan dan alat yang perlu diketahui dan diingati. Ini amat susah difahami dan merupakan satu perkara yang membebankan mental.
3. Dalam mempelajari sejarah seni, kemahiran mendengar, mengamati, mencatat maklumat penting merupakan aktiviti yang membosankan bagi mereka.
4. Sikap pelajar yang menganggap sejarah seni dalam soalan kertas satu tidak perlu diperi perhatian yang lebih kerana ia diuji dalam bentuk objektif. Pelajar masih berpeluang meneka atau ‘tikam’ A, B, C, D walaupun tidak tahu jawapan sebenar.
5. Nama-nama tokoh sejarah seni khasnya tokoh barat sukar diingati kerana kebanyakannya dalam bahasa Inggeris yang begitu janggal dan asing bagi mereka.
6. Pelajar tidak terbiasa dengan laras bahasa seni tampak, ini menyukarkan mereka memahami dan menghayati setiap era yang dipelajari.

3. Mengapa perlu mempelajari sejarah seni?
Secara dasarnya terdapat beberapa sebab sejarah seni sebagai sebahagian sukatan pendidikan seni visual di sekolah. Ia penting kerana pemahaman tentang sejarah seni dapat memperkayakan lagi visi artistik seseoarang yang menghargai karya seni. Mengetahui dan mendalami subjek seni dapat menjadi asas kepada sesi kritikan. Pemahaman sejarah seni juga dapat meningkatkan lagi kebolehan pelajar membuat keputusan estetika yang dihadapi dalam kehidupan harian . melalui sejarah seni dapat memufuk sifat pelajar yang berkesedaran dan meninggikan sensitiviti terhadap nilai keindahan alam. Karya seni yang dihasilkan oleh seniman membawa maksud dan mesej yang mempengaruhi masyarakat kini, melalui sejarah seni pelajar dapat dididik untuk menghargai dan memahami proses artistik dan kreativiti setiap seniman.
4. Menganalisa klien
Peringkat remaja dianggap sebagai sangat kritikal dalam peringkat perkembangan individu kerana melibatkan perubahan-perubahan yang radikal dari segi fizikal dan psikalogi. Menurut Muus (1982) dari segi sosiologi remaja merupakan satu zaman peralihan dari zaman kanak-kanak yang tidak bebas, kepada satu zaman dewasa yang mampu diri.
Ahli-ahli seni terkenal, Victor Lowenfeld dan Herbert Read telah mengemukakan skima perkembangan kanak-kanak dalam pengutaraan seni tampak. Kanak-kanak yang berumur antara 14 – 17 tahun dikatakan dalam garis Awal Remaja / Krisis remaja. Peringkat ini jika tidak dididik dengan perancangan yang teliti, mereka dikatakan akan hilang minat terhadap matapelajaran seni. Menurut beliau lagi, sebahagian remaja beranggapan seni bukanlah lagi menjadi sebahagian hidup mereka, dan merasakan seni itu tidak perlu lagi untuk gambaran perasaan mereka, kerana telah ada tersedia di sekeliling seperti tarian, nyanyian, pakaian, taman, bangunan dan sebagainya.
Tidak suka dilebal. Kebanyakkan pelajar beranggapan bahawa matapelajaran Pendidikan Seni Visual tidak penting dan hanya pelajar yang lemah dalam bidang sains sahaja yang perlu mempelajarinya. Mereka dilebal ‘lembab’ oleh rakan sebaya mahupun sesetengah guru yang kurang arif dalam bidang seni. Namun, dalam mendisplinkan pelajar elakkan daripada menggunakan dan memberi lebal yang mengkritik anak remaja. Menurut Karl Menningar ‘Diagnostic name calling’ amatlah merosakkan.’ The word cancer is said to have killed some patients long before the maglinancy did them yang bermasej menyatakan anak remaja yang digelar ‘nakal’ tentu akan nakal akhirnya.
Rendah diri yang keterlaluan. Salah satu daripada gangguan emosi yang dihadapi oleh remaja ialah perasaan rendah diri keterlaluan yang lazimnya disebut inferiority complex. Pelajar yang mengambil matapelajaran seni visual sebagai kertas peperiksaan merasa diri mereka tidak sepandai pelajar yang dalam kelas beraliran sains dan teknolagi, perasaan redah diri mengganggu mereka mempelajari seni dengan baik. Kadangkala pelajar tersebut sengaja merendah-rendahkan matlamat prestasinya dalam pembelajaran kerana jikalau sebenarnya mereka gagal, mereka tidak perlu merasa dukacita.
Sensitif. Remaja menjadi sensitif dan cuba pula mengelakkan dan menyepikan diri daripada aktiviti kerja yang diberi oleh guru, kerana mereka berasa tidak sempurna. Tiada siapa yang boleh lari daripada ketidaksempurnaan. Namun, remaja sensitif kepada kekurangan dirinya. Mereka kurang senang dengan individu yang memperkecilkan kebolehan mereka. Jikalau guru memberi ‘label’ bodoh kepada mereka, mereka akan berasa bodoh dan seterusnya hilang minat pada apa yang dipelajarinya. Ini menyebabkan kegagalan ujian bulanan, penggal dan peperiksaan utama.
IQ rendah. Menurut Binet, kecerdasan merupakan pemikiran, kebolehan menyesuaikan diri kepada persekitaran. Terman pula menganggap kecerdasan adalah keupayaan individu berfikir secara abstrak iaitu kebolehan mengenalpasti masalah serta membuat ramalan dan memikirkan sebab akibat sesuatu. Kecerdasan berkait rapat dengan ingatan. Dalam bilik darjah, remaja yang kurang cerdas atau yang tidak berupaya menggunakan kecerdasan mereka sepenuhnya kerana beberapa faktor tertentu, turut merasai diri mereka dikategorikan sebagai pelajar lembab atau ber-IQ rendah. Pelajar remaja yang mempunyai tahap pencapaian yang rendah sering merasai dirinya tidak sempurna, serba-serbi kekurangan dan tidak bermotivasi untuk memperoleh kejayaan dalam matapelajaran dan kehidupan kelak. Ingatan yang rendah turut menghilangkan minat diri dalam mempelajari sejarah seni.
Ketidak-matangan. Pelajar remaja biasanya mempunyai ego yang amat tinggi. Mereka suka berlagak seperti orang dewasa padahal mereka tidak dapat membezakan kepentingan pendidikan pada masa depan. Menurut Sigmund Freud kebanyakan masalah remaja berpunca daripada ketidakstabilan struktur personaliti.
Cepat rasa bosan. Kebosanan yang dinyatakan oleh pelajar amat berkait rapat dengan sifat mereka yang ingin memperontak pada peringkat ini. Mereka tidak minat pada sesuatu yang statik tanpa memberi kebebasan bergerak. ‘Bosan’ merupakan satu alasan bagi mereka mengelakkan diri daripada mempelajari sejarah seni.
Tidak jelas matlamat. Matlamat adalah tujuan atau sesuatu yang hendak dicapai. Pelajar yang tidak minat dalam sejarah seni, mereka tidak jelas apa matlamat mempelajari subjek ini. Adakah ia berkaitan dengan cita-cita? Adakah ia berguna dalam kehidupan? Mereka menolaknya kerana merasa ia membuang masa dan tenaga mereka untuk perkara yang sia-sia.
Malas belajar. Kebanyakan pelajar bukan bodoh dan lembab dalam mengingat sejarah seni, tetapi sebenarnya sikap mereka yang malas belajar telah mengakibatkan mereka mengalami kegagalan. Pelajar menjadi malas untuk belajar adalah kerana mereka tidak mempunyai kesedaran yang cukup. Mereka tidak mengerti tentang peri pentingnya akademik, tidak mempunyai cita-cita, berfikiran pendek sehingga mereka tidak memikirkan masa hadapan yang begitu mencabar. Sebaliknya apa yang mereka fikirkan adalah kesenangan dan keseronokan dalam waktu yang terdekat sahaja.
Tidak minat membaca. Membaca merupakan asas terpenting untuk berjaya. Masalah yang dihadapi sekarang ialah kebanyakan pelajar tidak mempunyai minat untuk membaca, lebih-lebih lagi membaca buku-buku pelajaran. Sering terjadi pelajar-pelajar akan mudah berasa mengantuk dan bosan apabila membaca fakta.